Friday, 31 August 2018

KITALAH PENDUKUNG MARTABAT


TUKANG PUISI

JOM SERTAI TUKANG PUISI!

Hantarkan puisi anda kepada kami sekarang .

[Pengenalan] 

• Tukang Puisi adalah medium penilaian dan penyiaran puisi secara atas talian. Ya, anda boleh menyiarkan puisi di media sosial secara bebas, tetapi ruang ini diharap dapat mewujudkan satu platform kompetitif di mana para penulis berpeluang menguji kekuatan karyanya melalui penilaian oleh editorial dan pembaca (selain sedikit cenderamata untuk yang berjaya).

• Setiap bulan pasukan editorial akan memilih antara 4-10 karya puisi yang akan disiarkan secara berperingkat pada setiap hari SELASA dan JUMAAT.

• Pada setiap hujung bulan, SATU puisi terbaik akan dipilih secara undian oleh pembaca (50%) dan undian oleh editorial/juri pilihan (50%). Penulis puisi yang terpilih akan menerima tiga judul buku Kata-Pilar (pilihan penulis).

• Pihak editorial berhak menambah jumlah pemenang (dua, atau tiga orang) jika didapati banyak puisi yang baik pada bulan tersebut.

[Penyertaan]

• Terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Penulis dari nusantara (Indonesia, Brunei, Singapura, dan Selatan Thai) boleh menyertai dengan syarat mempunyai alamat di Malaysia (sendiri atau wakil) bagi membolehkan pengeposan buku (jika terpilih) dilakukan. Pengeposan tidak akan dilakukan ke luar Malaysia.

• Tiada had umur. 

• Majoriti kandungan puisi dalam Bahasa Melayu. Panjang, tema dan bentuk puisi bebas.

• Jumlah puisi yang dihantar bebas, tetapi hanya satu puisi dari seorang penulis yang akan disiarkan dalam sebulan.

• Puisi mestilah belum disiarkan dalam media cetak/buku yang berdaftar (mempunyai ISBN/ISSN) tetapi karya yang tersiar di TUKANG PUISI boleh disiarkan di media lain (berserta pemakluman ringkas kepada kami untuk perhatian).

• Hakcipta karya adalah milik penulis. Karya yang tak terpilih untuk siaran automatik akan dilepaskan (dikira tidak terpilih) selepas sebulan.

• Penerbitan karya-karya terpilih akan ditentukan dan dipertimbang kemudian berdasarkan situasi semasa dan sambutan khalayak.

• Hantarkan puisi dalam MS Word (format font bebas) berserta maklumat berikut: Nama, nama pena (untuk ditulis bersama puisi), nama akaun FB (untuk kami tag), alamat pos, dan no telefon. Pengiriman buku yang gagal akibat maklumat yang tidak lengkap akan menyebabkan kemenangan anda ditarik (naskhah hadiah tidak dikirimkan dan tidak ada refund). Menjadi tanggungjawab penulis untuk memastikan anda ‘contactable’.

• Hantarkan karya anda ke : tukangpuisikatapilar@gmail.com 

Puisi Takkan Mati!

Tuesday, 21 August 2018

SIAPA KITA

SIAPA KITA

Siapa yang boleh diharapkan
di mana pembela maruah Islam
mereka yang selar martabat Islam dibiarkan
seolah semuanya dipolitikkan
harapkan pemimpin kemelayuan
manis bibirnya sekadar tabur harapan
mereka hanya minat menimbun kekayaan
sedaya ingin mengekalkan kekuasaan
demi kerusi yang disandang
rela jadi lembu kenyang

Walau Islam masih bebas diamalkan
makin hari terus dipersendakan
oleh si kafir yang lantang
tanpa bendungan
tiadakah engkau risaukan

Kini
kitalah kesinambungan
usah didakap pemimpin tabur keasyikan
sewenangnya ketepikan syariat Islam
jangan biarkan Islam dirobek berterusan
hulurlah walau senaskah kalam
sekurangnya
di hadapan Tuhan ada jawapan

~ Anginretak**2:30pm
29 April 2018 Marang, Trg.

SYAIR KEHIDUPAN

SYAIR KEHIDUPAN

Sehulur kata nak kulakarkan
kisah dunia dioleng dendangan
maruah manusia mula berserakan
pada dosa seakan dilupakan

Berbagai adunan dapat disaksikan
kekadang berlakon pamir kebaikan
pada khalayak hulurkan kesempurnaan
tetapi hatinya diresapi syaitan

Kenyangnya dunia berbagai kemajuan
teknologi siber melangkau sempadan
di hujung jari segala kemudahan
pada yang jauh bagai di depan

Negara kita tidak ketinggalan
teradun sudah meniti zaman
satu kelebihan demi kebaikan
juga bercurang dengan kebatilan

Kemajuan zaman dituba keburukan
kemudahan siber disulam kelicikan
penipuan talian dijadikan pendapatan
juga sepakat dalam kemaksiatan

~ Anginretak
31 Oktober 2014 Kuala Terengganu

Sunday, 19 August 2018

PERSATUAN SASTERAWAN TERENGGANU ( PELITA )


Salam sastera.

Pesatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) memperkenal laman blog baharu kami - WADAH PELITA bagi memberi peluang serta membuka ruang kepada penulis, penggiat dan peminat bahasa dan sastera Melayu menukilkan karya mereka melalui medium media sosial untuk dikongsi bersama-sama rakan-rakan penulis, penggiat serta peminat bahasa dan sastera Melayu di seluruh dunia.
   
Bagi pihak Pelita, kami memohon kesudian tuan/puan mengirimkan karya ke alamat e-mel Pelita - pelitaterengganu@gmail.com. Insya-Allah karya tuan/puan akan disiarkan seberapa segera.

Melalui laman blog ini juga, kami berusaha untuk memuat turun maklumat terkini kegiatan Pelita serta penganjuran aktiviti bahasa dan sastera lain.

Terima kasih. Selamat berkarya.

SASTERA DISANJUNG, BAHASA DIJUNJUNG